Simple Spiritual

Wisdom is not knowing but realizing!

5K (Panj Kakaar) dalam agama Sikh


Panj Kakaar atau lebih dikenali sebagai 5K merupakan lambang seorang lelaki yang beragama Sikh. Panj kakaar merupakan Kesh, Kanga, Kara, Kirpan dan Kachha. Ia di perkenalkan oleh guru agama Sikh yang ke 10, Guru Gobind Singh di Baisakhi Amrit Sanchar pada tahun 1699, dan diwajibkan pakai sepanjang masa. Hari tersebut di rayakan sebagai hari Vaisakhi atau Baisakhi, pada 14 April setiap tahun oleh penganut agama Sikh.

Setiap lelaki Sikh yang mengamalkan “Panj Kakaar” dipercayai pahlawan Tuhan yang ditugaskan untuk melindungi orang-orang yang lemah tanpa perbezaan agama dan bangsa. Amalan dan perintah dari Guru tersebut telah dituruti oleh penganut agama Sikh sehingga ke hari ini.

Kesh (rambut yang tidak digunting)
Setiap lelaki yang beragama Sikh, wajib mengemaskan rambut, menyikat , mengikat dan melindunginya dengan “phage” (serban). Menjaga dan menutup rambut merupakan sebuah tanda penghormatan kepada Guru dan Tuhan. Menjaga dan membersihkan rambut juga merupakan sebuah latihan kesabaran kepada penganut. Oleh kerana pengikut agama Sikh telah dilarang dari memotong rambut, mereka menutup rambut dari tercemar dengan kekotoran dan kerosakan.

Menjaga rambut dan mengikat serban juga merupakan sebuah langkah melindungi Chakra Sahasrara (crown Chakra). Kesh hanya akan dibuka pada waktu tidur.

Kanga (Sikat)
Kanga merupakan sikat yang diperbuat daripada kayu. Setiap pengikut agama Sikh akan menyimpan sebuah sikat berasingan untuk menyikat dan membersihkan rambut mereka; dari habuk dan kekotoran. Sikat tersebut akan disimpan, dan diikat dengan serban.

Kara (Gelang di tangan kanan)
Kara merupakan gelang tangan yang diperbuat daripada campuran beberapa jenis logam khas. Kara dipercayai dapat mengimbangkan, sifat, minda, tekanan dan melindungi diri dari niat jahat dan gangguan makhluk halus. Gelang tersebut dipercayai juga di percayai dapat memberikan energi dan kekuatan kepada badan manusia.

Kara juga merupakan identiti khas pengikut agama Sikh dan pada masa yang sama gelang tersebut mengingatkan tuannya kepada tugas mereka di dunia iaitu untuk berkhidmat kepada Tuhan, Guru dan manusia yang lain. Kara juga dapat mengelakkan manusia dari membuat kejahatan. Apabila seorang Sikh ingin membuat sesuatu yang dilarang dan jika terpandang gelang tangannya dia akan tersedar bahawa dia lahir ke dunia ini untuk melindungi manusia dan bukan menyusahkan mereka.

Kirpan (Pisau kecil)
Kirpan merupakan sebilah pisau kecil yang sentiasa di simpan oleh setiap lelaki dan wanita yang beragama Sikh, selepas di restui dengan air suci (Amrit) oleh 5 orang ustaz Sikh yang digelar “Panj Pyare”. Pisau tersebut biasanya sepanjang 6 dan 9 inci sahaja. Kirpan di simpan demi melindungi diri sendiri dan membantu orang lain semasa kecemasan.

Pisau tersebut dipercayai ada ilmu dan kebolehan khas. Pisau tersebut akan mengingatkan tugas mereka kepada pengikut agama Sikh sebagai pahlawan Tuhan, Guru dan melindungi orang yang lemah.

Kachha (Seluar dalam pendek)
Kachha merupakan seluar pendek yang diperbuat daripada kain kapas (Cotton). Seluar tersebut melindungi lelaki dari pinggang sehingga ke lutut. Seluar tersebut dipercayai dapat mengawal suhu badan, menguatkan otot dan urat; ia juga dipercayai dapat mengawal nafsu.


No comments:

Post a Comment